Ibu Nasihat Almy Nadia Jangan Kongsi Kisah Rumah Tangga Pada Media

Almy-Nadia-Fizz-Fairuz

Pelakon jelita yang sering membawa watak perempuan gedik, Almy Nadia memutuskan untuk mengunci mulut daripada menceritakan segala hal rumah tangga yang dibina bersama pelakon Fizz Fairuz.

Almy atau nama sebenar Almy Nadia Aminuddin Shah, 28, berkata, keputusan itu dibuat bagi menghormati permintaan ibunya agar apa juga yang berlaku dalam rumah tangga tidak diceritakan kepada umum khususnya media.  

“Ibu memberi nasihat agar tidak menceritakan hal rumah tangga kepada umum kerana ia terlalu peribadi.  

“Selain itu saya tidak mahu ada pihak yang tidak suka dengan cerita tentang kami. Tiidak semua orang suka kita, jadi lebih baik saya dengar nasihat ibu.

Almy telah selamat diijabkabulkan dengan pelakon Fizz Fairuz dengan sekali lafaz dalam satu majlis yang diadakan di Masjid Daerah Balik Pulau, Pulau Pinang, pada 26 April lalu.  

Majlis resepsi pihak perempuan akan di adakan di Hotel Vistana, Pulau Pinang pada 31 Mei ini, manakala pihak lelaki pada 7 Jun depan di Raub, Pahang.

Dalam pada itu, ditanya tentang gangguan daripada pihak luar terhadap rumah tangganya Almy berkata setakat ini kehidupan mereka berjalan lancar dan dia tidak mahu fikir tentang hal itu.  

Dia juga menganggap alam perkahwinan dan kehidupan berumahtangga merupakan sebuah kisah baharu dalam dirinya selain bergelar seorang isteri.  

“Setakat ini Alhamdulillah tiada sebarang gangguan tidak diingini dan saya malas nak fikir perkara seperti itu.  

“Saya anggap perkara yang sudah lepas sudah habis dan kini buka buku baru,” katanya.  

Sementara itu, Almy berkata, mereka belum merancang untuk berbulan madu berikutan terlalu sibuk dengan persiapan majlis resepsi kedua-dua belah pihak yang bakal berlangsung.  

“Insya-Allah lepas selesai majlis resepsi kedua-dua pihak dan selepas majlis Anugerah Bintang Popular barulah kami fikir untuk berbulan madu.

“Sekarang ini banyak duit habis, jadi kenalah kerja dulu baru boleh fikir tentang bulan madu,” katanya.

Kalimah ALLAH Hak Mutlak Umat Islam

kalimah-allah-umat-islam

SHAH ALAM - Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.
  
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.
  
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah 'Tuhan' dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada 'Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara' anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
  
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.
  
"Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas," katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.
  
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.
  
"Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan." katanya.  - Bernama