Dosa ialah balasan buruk disediakan oleh Allah SWT untuk sesiapa yang mengingkari dan melanggar perintah-Nya.
Tidak nafikan sebagai manusia biasa (selain para Rasul yang bersifat maksum) kita kerap kali terbabit dengan kesilapan disebabkan kelalaian diri sendiri.
Tidak nafikan sebagai manusia biasa (selain para Rasul yang bersifat maksum) kita kerap kali terbabit dengan kesilapan disebabkan kelalaian diri sendiri.
Akan tetapi itu bukanlah alasan untuk kita tidak berusaha membersihkan
diri daripada calitan dosa. Malah, kita sangat dituntut untuk segera
berusaha memohon keampunan kepada Allah sepanjang masa dengan
bersungguh-sungguh, ikhlas dan tanpa bertangguh.
Hal ini sejajar dengan kehendak Allah SWT yang memerintahkan agar kita bersegera bertaubat.
Allah SWT berfirman yang bermaksud: “Dan segeralah kamu kepada (mengerjakan amal-amal yang baik untuk mendapat) keampunan dari Tuhan kamu, dan (mendapat) syurga yang bidangnya seluas segala langit dan bumi, yang disediakan bagi orang-orang yang bertakwa” (Surah Ali Imran, ayat 133)
Tindakan bersegera memohon agar dosa diampunkan oleh Allah SWT adalah sangat tepat sekali, kerana yang demikian itu mencerminkan seorang insan yang berakal waras dan ada wawasan.
Lantaran kematian tidak pernah diketahui bila dan di mana? Jika berlengah-lengah dikhuatiri ajal datang sebelum sempat bertaubat. Maka pasti insan yang malang itu akan dicengkam sengsara serta menanggung kerugian yang besar.
Lagi pun orang yang tidak suka membuang masa dan segera menuju keampunan Allah SWT menunjukkan jiwanya tidaklah menganggap dosa itu perkara yang ringan dan remeh.
Malah, memandang dosa adalah suatu perkara besar dan berat yang cukup merosakkan. Amat perlu dielakkan sejauh-jauhnya.
Sesuai dengan penjelasan Rasulullah SAW bermaksud: “Sesungguhnya seorang mukmin dalam melihat dosanya, bagaikan seorang yang berada di puncak gunung, yang selalu khuatir tergelincir jatuh. Adapun orang fasik dalam melihat dosanya, bagaikan seseorang yang dihinggapi lalat di hidungnya, maka dia usir begitu saja.” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Kita harus sentiasa bertindak menjauhi perbuatan yang mengundang kemurkaan Allah SWT. Di antara jalan yang boleh dijejaki ialah dengan menyedari diri sentiasa diawasi oleh Allah SWT. Percayalah, perasaan ini menjadi tembok kukuh yang menghalang seseorang mencipta dosa.
Lantaran itu, tatkala seseorang cenderung untuk melakukan perbuatan buruk maka segeralah ingat kepada-Nya.
Pasti, hasrat tadi membeku tiba-tiba. Begitulah juga ketika melakukan sesuatu ibadat atau perintah agama, ingatan kepada-Nya janganlah dipadamkan serta berasa selalu dilihat oleh-Nya pasti seseorang itu akan melakukannya dengan teliti, bersungguh-sungguh dan yang terbaik.
Sesuai dengan sabda Rasulullah SAW bermaksud: “Sembahlah Allah seakan-akan engkau melihat-Nya dan jika engkau tidak melihat-Nya maka sesungguhnya Allah melihatmu” (Riwayat Bukhari dan Muslim)
Demi merebut reda Allah SWT, perlulah kita membersihkan diri daripada dosa. Allah menyukai orang yang bertaubat dan pasti mendapat ganjaran yang setimpal daripada-Nya.
Di antaranya jiwa kita diteduhi ketenangan seperti pernah diungkapkan oleh Syeikh Abdul Qadir al-Jailani: “Apabila kamu sudah bertaubat dari semua dosa dan bertakwa kepada-Nya, maka Dia akan menjadikan bagimu kelapangan dari setiap kegelisahan dan memberi jalan keluar dari segala kesempitan”.
Inilah sebenarnya mutiara hikmat dari taubat yang dilakukan, di samping itu dapat meningkatkan tahap ketakwaan serta terhalang dari sebarang tipu daya syaitan dan hawa nafsu.
Orang yang suka bertaubat kerana takut kepada-Nya dan menahan diri daripada perbuatan dosa maka Allah SWT tetap memberi kemuliaan di dunia dan juga di akhirat Firman Allah SWT bermaksud:
“Adapun orang yang takutkan keadaan semasa dia berdiri di mahkamah Tuhannya (untuk dihitung amalnya) serta dia menahan dirinya dari menurut hawa nafsu, maka sesungguhnya syurgalah tempat kediamannya” (Surah an-Nazi’at, ayat 40 hingga 41)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan