Ahad, 20 April 2014

Kapten Kapal Feri Karam Korea Selatan Ditahan

South-Korea-Ship-Sink

JINDO: Penyiasat semalam menahan kapten yang dituduh lari meninggalkan feri Korea Selatan yang karam empat hari lalu dengan 476 orang penumpang, tatkala penyelam akhirnya berjaya memasuki feri berkenaan dan mengesan mayat di dalamnya.

Tiga mayat ditemui semalam, menjadikan 32 orang disahkan maut dalam bencana itu, tetapi 270 masih hilang.

Kapten feri itu, Lee Joon-Seok dan dua kru ditahan awal pagi semalam, didakwa dengan kecuaian dan gagal menjamin keselamatan kepada penumpang yang melanggar undang-undang maritim.

Kapten berusia 69 tahun itu teruk dikritik kerana lari meninggalkan feri ketika ia karam pagi Rabu lalu di luar pantai barat daya dengan beratus penumpang masih terperangkap di atasnya, kebanyakan pelajar sekolah tinggi yang dalam perjalanan bercuti.

Pasukan penyelam yang menghabiskan dua hari sia-sia menentang arus kuat dan jarak pemandangan hampir sifar, akhirnya berjaya memasuki dek penumpang kapal seberat 6,825 tan itu.

“Penyelam awam nampak tiga mayat menerusi tingkap. Mereka cuba masuk dan menarik mayat dengan memecahkan tingkap tetapi ia amat sukar,” kata timbalan pengarah pengawal pantai kebangsaan, Choi Sang-Hwan, dalam taklimat kepada saudara mara yang hilang.

Jaring dipasang di sekeliling feri yang karam itu untuk mengelakkan mayat dihanyutkan ketika proses pencarian, kata Choi, sambil menambah pasukan penyelamat tidak berputus asa mencari mangsa terselamat yang terperangkap dalam poket udara.

Sementara itu kapten Lee dengan dua pegawai yang bertanggungjawab ketika itu, memakai baju hujan hitam dengan hud dinaikkan kelihatan tunduk ketika dibawa ke depan kamera televisyen di balai polis.

Disoal oleh wartawan televisyen mengapa penumpang diarahkan tidak bergerak selama lebih 40 minit selepas kapal itu mula tenggelam, Lee berkata ia adalah langkah keselamatan. “Ketika itu kapal penyelamat belum tiba. Tiada bot nelayan atau kapal lain berhampiran untuk usaha menyelamat. Arus amat kuat dan air amat sejuk di kawasan berkenaan ketika itu.

“Saya sangka penumpang akan dihanyutkan dan bermasalah jika mereka dipindahkan dengan cuai,” katanya. - AFP

Tiada ulasan:

Catat Ulasan