![]()  | 
| Gambar hiasan | 
GEORGE TOWN: Seramai 88 individu termasuk 38 wanita 
ditahan ketika meraikan pesta hari jadi dalam keadaan mabuk dan khayal 
di sebuah banglo yang dijadikan inap desa di Jalan Masjid Negeri, di 
sini awal pagi Ahad.
Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Idris berkata, 
kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 35 tahun itu ditahan dalam 
serbuan unit narkotik pada pukul 2.45 pagi hasil maklumat orang awam.
"Hasil siasatan seorang lelaki berusia 27 tahun mendakwa menganjurkan
 majlis hari jadi di banglo itu, bagaimanapun ia dijalankan dalam 
suasana yang mencurigakan kerana lagu dipasang dengan kuat dan polis 
turut menemui pelbagai botol arak.
"Mereka juga dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah dan arak," katanya pada sidang akhbar, di sini Ahad.
Ismail berkata, kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat
 Polis Daerah Timur Laut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati 
35 lelaki dan 25 wanita positif dadah.
Beliau berkata, siasatan awal mendapati 16 daripada yang ditahan itu ialah pelajar sekolah dan turut positif dadah.
Ismail berkata, polis akan memanggil pemilik inap desa berkenaan bagi membantu siasatan kes itu.
"Menurut siasatan juga ada pengunjung yang menghadiri majlis itu 
dikenakan bayaran dan difahamkan ia adalah bagi menampung kos sewa inap 
desa serta makanan
untuk majlis berkenaan," katanya.

Tiada ulasan:
Catat Ulasan