Ahad, 20 April 2014

Hubugan Britney Spears, David Lucado Tidak Direstui Bapa

Britney Spears-David Lucado

BAPA kepada Britney Spears iaitu Jamie tidak merestui hubungan anaknya dengan David Lucado biarpun pasangan itu dikhabarkan akan berkahwin dalam masa terdekat.

Daily Mail melaporkan, Jamie gagal mempercayai lelaki tersebut kerana dia tidak yakin David dapat menjaga Britney dengan baik selain bimbang dia hanya mahu berkahwin dengan anaknya kerana wang.

"Britney dan David sedang dilamun cinta tetapi bapanya tidak senang dengan hubungan tersebut," kata sumber terdekat penyanyi itu.

Penyanyi lagu Toxic itu mempunyai dua cahaya mata iaitu Sean, 8, dan Jayden, 7, tahun hasil hubungannya dengan bekas suami, Kevin Federline.

Pasangan itu berkahwin pada September 2004 dan bercerai tiga tahun kemudian. Britney membayar USD20,000 (RM60,000) kepada Kevin setiap bulan sebagai nafkah anak-anak mereka.

Jamie kekal bertindak sebagai penasihat kewangannya sejak beberapa tahun lalu.

"Bapanya tidak mahu kejadian sama berlaku selepas anaknya bercerai dengan Kevin dan dia benar-benar mahu menyelamatkan wang dan harta anaknya.

"Sebab itu Jamie lebih senang Britney kekal solo tanpa mana-mana lelaki mendekatinya kerana dia tidak tahu niat sebenar mereka," kata sumber itu lagi.

Penyanyi itu sebelum ini memutuskan pertunangannya dengan Jason Trawick pada Januari tahun lalu dan dilaporkan mahu berkahwin dengan David.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan