Memaparkan catatan dengan label Bernama. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Bernama. Papar semua catatan

Selasa, 6 Mei 2014

Kalimah ALLAH Hak Mutlak Umat Islam

kalimah-allah-umat-islam

SHAH ALAM - Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.
  
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.
  
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah 'Tuhan' dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada 'Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara' anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
  
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.
  
"Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas," katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.
  
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.
  
"Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan." katanya.  - Bernama

Bekas Pembantu Akaun Syarikat Tudung Fareeda Didakwa Menipu

Bekas-pembantu-akaun-tudung-fareeda-menipu

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
  
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
  
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
  
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
  
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
  
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
  
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
  
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
  
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
  
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
  
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.  - Bernama

Ahad, 20 April 2014

Derita Akibat Catuan Air Dijangka Berakhir April Ini

khalid-zalimi-rakyat-selangor
 
KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat dijangka ditamatkan pada 30 April depan.
 Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred Dharan berkata bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Pelaksanaan pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat masih diteruskan seperti yang dirancang dan diputuskan kerajaan negeri Selangor (sehingga 30 April)," katanya dalam satu kenyataan di sini,m Ahad.

Mengulas mengenai kelewatan penyaluran bekalan air di beberapa kawasan catuan di Hulu Langat pada 19 April lepas, Priscilla berkata ia berikutan kejadian paip pecah yang berlaku di Taman Minang, Kajang.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kawasan catuan di Taman Minang, Kajang Emas dan Kajang Mulia mengalami gangguan bekalan air untuk tempoh beberapa jam.

Sementara itu, catuan bekalan air di sekitar Gombak juga berhadapan dengan kekerapan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju akibat kekeruhan pada air mentah melebihi tahap yang dibenarkan.

"Walaupun ada bekalan air alternatif disalurkan dari pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3, namun jumlah keseluruhan agihan bekalan air berkurangan berikutan tiada sumbangan daripada LRA Wangsa Maju.

"Selain itu, pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 3 sedang dikurangkan ekoran pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor seperti diputuskan kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, bagi keperluan kritikal seperti upacara kematian, kegunaan pusat dialisis, rumah perkahwinan atau majlis perkahwinan, pengguna boleh memohon untuk mendapatkan bekalan melalui lori tangki atau tangki air statik daripada Syabas.

Pengguna dinasihatkan untuk tidak menggunakan bekalan air bagi keperluan tidak kritikal seperti mencuci kenderaan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kawasan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang Syabas di www.syabas.com.my.

Ahad, 30 Mac 2014

Lagi Kes Kaki Budak Tersepit Dalam Lubang Tandas

budak-tersepit-lubang-tandas

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bernama

Selasa, 25 Mac 2014

BN Sarawak Tidak Dentar Dengan Anwar

MUKAH - Kerajaan Sarawak membenarkan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim memasuki negeri ini untuk berkempen bagi calon parti pembangkang itu Abdul Jalil Bujang dalam pilihan raya kecil Balingian Sabtu ini.

Ketua Menteri Tan Sri Adenan Satem berkata ini kerana "kami tidak gentar dengannya."

"Kami benarkan beliau masuk, bukan kerana kami gentar dengannya," kata beliau sambil menegaskan bahawa 13,366 pengundi berdaftar di kawasan itu, yang terdiri daripada suku kaum Melanau, Iban, Cina dan lain-lain, tahu siapa Anwar sebenarnya.

Beliau berkata demikian pada majlis bersama rakyat di Rh. Kumbong di Ulu Bedangan di sini hari ini.

Anwar dijadualkan melawat sebuah rumah panjang Iban di sini hari ini sebelum berucap pada majlis ceramah di bandar ini malam ini.

Jumaat lepas, Adenan mengeluarkan kenyataan bahawa Sarawak akan menghalang orang luar "yang taksub dengan agama, bersifat perkauman dan pembuat kacau lain" daripada memasuki negeri ini bagi memelihara keharmonian dan perpaduan penduduknya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

BN meletakkan Yussibnosh Balo sebagai calonnya dalam pilihan raya kecil berkenaan. - Bernama

Kaedah 'kesan Doppler' Tentukan Kedudukan MH370

mh370-pray
KUALA LUMPUR - Kedudukan terakhir pesawat MH370 yang hilang, dikenal pasti melalui penggunaan 'kesan Doppler' oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB) United Kingdom dan Satelit Inmarsat.

Pemangku Menteri Pengngkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Inmarsat mencipta kaedah inovatif kedua ini, yang mengambil kira halaju pesawat berkenaan dan kaitannya dengan satelit berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan pergerakan relatif ini, frekuensi yang diterima dan dipancarkan akan berbeza daripada nilai normalnya, sama seperti bunyi sebuah kereta berubah apabila ia semakin dekat dan berlalu.

Ini dikenali sebagai kesan Doppler," katanya pada sidang akhbar mengenai"kemajuan usaha mencari pesawat tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata kaedah Inmarsat itu membuat analisis tentang perbezaan antara frekuensi yang dijangka diterima stesen bumi dengan frekuensi sebenar yang diukur dan perbezaan yang wujud adalah hasil daripada kesan Doppler, yang dikenali sebagai 'Burst Frequency Offset'.

Hishammuddin berkata 'Burst Frequency Offset' berubah mengikut lokasi pesawat terbabit dalam arca yang berkemungkinan menjadi tempatnya berada, arah pergerakan dan kelajuannya.

"Untuk mendapatkan keyakinan terhadap teorinya, Inmarsat menyemak ramalannya itu dengan maklumat yang diperoleh daripada enam pesawat B777 lain yang terbang pada hari sama di pelbagai arah. Terdapat persamaan yang meyakinkan.

"Ketika berada di bumi di lapangan terbang Kuala Lumpur dan pada peringkat awal penerbangannya, MH370 menghantar beberapa mesej.

"Pada peringkat itu, lokasi pesawat berkenaan dan satelit, telah dikenal pasti, maka oleh itu, perkiraan bolehlah dibuat tentang ciri-ciri sistem pesawat terbabit, satelit dan stesen bumi," katanya.

Beliau berkata analisis ini menjadi asas bagi kajian selanjutnya dalam usaha menentukan kedudukan terakhir pesawat MH370."Sejajar dengan itu, pasukan penyiasat Malaysia menubuhkan sebuah kumpulan kerja antarabangsa, yang dianggotai agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang komunikasi satelit dan prestasi pesawat, untuk meneruskan tugas berkenaan," katanya.

Beliau berkata walaupun banyak lagi kerja perlu dibuat, kerajaan berterima kasih kepada Inmarsat, AAIB dan pasukan penyiasat antarabangsa, yang sedang meneruskan tugas mereka dengan pihak berkuasa Malaysia.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis baharu AAIB dan Inmarsat.

Penerbangan ke Beijing itu hilang pada 8 Mac. Pengumuman Najib itu mengakhiri operasi mencari dan menyelamat yang diadakan selama 17 hari dan disifatkan sebagai operasi terbesar dalam sejarah penerbangan, dengan melibatkan 26 negara.

Bagaimanapun, spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 terus tersebar kerana hingga kini, belum terdapat jawapan konkrit mengenainya. Ia mungkin berakhir setelah kotak hitam dijumpai. - Bernama