Selasa, 6 Mei 2014

Bekas Pembantu Akaun Syarikat Tudung Fareeda Didakwa Menipu

Bekas-pembantu-akaun-tudung-fareeda-menipu

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
  
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
  
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
  
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
  
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
  
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
  
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
  
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
  
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
  
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
  
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.  - Bernama

Tiada ulasan:

Catat Ulasan