Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Isu. Papar semua catatan

Selasa, 6 Mei 2014

Kalimah ALLAH Hak Mutlak Umat Islam

kalimah-allah-umat-islam

SHAH ALAM - Kalimah suci ALLAH layak digunakan oleh umat Islam sahaja berikutan ia sememangnya berasal dari kitab al-Quran dan tidak pernah disebut dalam Bible asli, kata ahli akademik Filologi Islam dan Pengajian Semitik Universiti Airlangga, Surabaya, Jawa Timur, Prof Dr Menachem Ali.
  
Beliau berkata, bagi merungkai kekeliruan penggunaan kalimah ALLAH, semua pihak seharusnya merujuk kembali pada konteks asal kandungan kitab suci masing-masing dan perkara itu harus segera diselesaikan bagi mengelakkan ketegangan agama.
  
Hasil kajiannya selama lebih 12 tahun dalam bidang berkaitan menunjukkan bahawa Bible asli yang berasal pada zaman Greek tidak menggunakan kalimah ALLAH untuk merujuk istilah 'Tuhan' dalam agama Kristian, katanya kepada pemberita pada 'Seminar Kalimah ALLAH dan Kristologi Nusantara' anjuran Universiti Teknologi Mara di sini hari ini.
  
Prof Dr Menachem menjelaskan bahawa kajiannya juga menunjukkan teks asli New Testament bagi Bible tidak pernah menyebut kalimah ALLAH namun ia (ALLAH) hanya muncul bagi teks terjemahan yang maksudnya diragui berikutan terdapat pergeseran semantik bahasa dan makna mengikut tempat pada abad pertengahan dahulu.
  
"Mengambil contoh di Indonesia, terjadi kesalahfahaman dalam terjemahan kini yang ALLAH sepatutnya menunjukkan pada nama Tuhan namun dalam bahasa Indonesia, ALLAH hanya sebagai gelar dan ini menjadi persoalan besar dan harus dibincangkan semua ilmuwan agama dan membuat kesepakatan bahawa ALLAH adalah nama khas," katanya.

Prof Dr Menachem memuji kerajaan Malaysia dalam menangani isu ini namun melihat usaha itu perlu disertai dengan perbincangan terbuka bagi menjelaskan sebab larangan penggunaan kalimah ALLAH dalam terjemahan Bible versi Bahasa Melayu.
  
Beliau berkata, pemahaman secara mendalam mengenai asal usul kalimah suci itu bagi semua ilmuwan agama amat penting dalam merungkai hak penggunaannya.
  
"Istilah ALLAH sangat penting untuk difahami semua komuniti agama baik Muslim atau bukan Muslim, yang harus kenal betul kerana jika tidak, akan terjadi kesalahfahaman bahkan timbul persoalan tidak berhujung pada sesuatu yang bersifat kebaikan." katanya.  - Bernama

Bekas Pembantu Akaun Syarikat Tudung Fareeda Didakwa Menipu

Bekas-pembantu-akaun-tudung-fareeda-menipu

KAJANG - Seorang bekas pembantu akaun syarikat pengeluaran tudung terkenal Fareeda mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini terhadap 20 pertuduhan menipu pengarah urusan syarikat itu berhubung pembayaran gaji pekerja membabitkan kerugian berjumlah RM57,414.74 antara November 2013 hingga Januari lepas.
  
Normala Mohd Ali, 25, membuat pengakuan itu selepas kesemua pertuduhan terhadapnya dibacakan di hadapan Majistret Aina Azahra Arifin.
  
Bagi tiga pertuduhan pertama, Normala didakwa menipu Pengarah Urusan syarikat Fareeda Global Resources Sdn Bhd, Aminuddin Basirron, 44, untuk mempercayai representasi satu akaun Maybank milik Noradibah Mohd Razib, 25, adalah pekerja syarikat itu sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam akaun Nur Adibah.
  
Bagi 13 pertuduhan lagi, Normala bersama enam rakannya termasuk seorang wanita didakwa dengan niat bersama menipu Aminuddin untuk mempercayai representasi enam akaun Maybank adalah milik enam pekerja syarikat Fareeda Global Resources sehingga mendorong Aminuddin membuat pengesahan pembayaran gaji ke dalam semua akaun tersebut.
  
Rakannya itu ialah Intan Suria Abdul Rahman, 33, Mohamad Azuwad Mohd Nor, 26, Mohd Fakrul Razib Mohd Ali, 35, Muhammad Alif Farhan Johari, 25, Mohd Amirul Bedoh Lahata, 21, dan Khairul Azimi, 27, masing-masing mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan itu.

Normala turut didakwa terhadap empat pertuduhan bersubahat dengan bekas kerani syarikat, Mohamed Nazreen Shah Yem, 21, untuk menipu Aminuddin bagi tujuan sama membabitkan Muhammad Alif Farhan dan Mohd Amirul.
  
Mohamed Nazreen, yang juga didakwa atas kesalahan bersubahat itu, bagaimanapun mengaku bersalah bagi pertuduhan pertama dan mengaku tidak bersalah bagi tiga pertuduhan lain.
  
Kesemua perbuatan itu didakwa dilakukan dalam tiga kejadian berasingan iaitu pada 28 Nov 2013, 30 Dis 2013 dan 29 Jan 2014 di pejabat syarikat itu beralamat No. 69A-71A, Jalan 8/1, Seksyen 8, Bandar Baru Bangi di sini.
  
Bagi kesalahan menipu, Normala dan enam tertuduh lain didakwa mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum 10 tahun, denda dan sebatan.
  
Normala dan Mohamad Nazreen juga berdepan hukuman sama apabila didakwa mengikut seksyen sama yang dibaca bersama Seksyen 109 kerana bersubahat.

Aina Azahra membenarkan Normala diikat jamin sebanyak RM122,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan manakala Mohamad Nazreen dibenarkan diikat jamin RM25,000 dengan seorang penjamin.
  
Enam tertuduh lain dibenarkan diikat jamin antara RM6,000 dan RM20,000 dengan seorang penjamin bagi setiap seorang.
  
Mahkamah menetapkan 17 Jun depan untuk sebutan semula kes.
  
Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya R.Siamalah manakala kesemua tertuduh tidak diwakili peguam.  - Bernama

Khamis, 1 Mei 2014

Kerajaan Belum Bercadang Kurangkan Pejawat Awam

penjawat-awam-pro-pembangkang

JITRA: Kerajaan tidak bercadang untuk mengurangkan bilangan penjawat awam di negara ini yang kini berjumlah 1.5 juta orang, kata Datuk Seri Najib Tun Razak.

Perdana Menteri berkata kerajaan bukanlah seperti pembangkang yang bercadang untuk membuang separuh penjawat awam atau menguncupkan saiz perkhidmatan awam jika mereka berkuasa.

" Kerajaan hari ini tak ada cadangan sedemikian. Kita mesti faham ini... memang bertimbang rasa," katanya ketika merasmikan Hari Pekerja Penjawat Awam Tahun 2014 di Dewan Wawasan di sini, Khamis.

Bagaimanapun, Najib berkata kerajaan memerlukan banyak pertimbangan dalam memenuhi permintaan penjawat awam berdasarkan kemampuan kerajaan.

Janda Mati Ditikam Gara-Gara Tolak Cinta Ketua Pengawal Keselamatan

janda-mati-ditikam

PETALING JAYA: Seorang tukang jahit wanita ditemui mati dengan beberapa kesan tikaman di bahagian perut dipercayai dibunuh kenalan lelakinya di rumah wanita itu di Sungei Way, di sini Rabu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Arjunaidi Mohamed berkata, polis menerima panggilan daripada orang awam kira-kira pukul 1 tengah hari yang menjumpai mangsa, 43, berasal dari Sabah.

"Hasil siasatan awal mendapati mangsa seorang janda anak satu itu dipercayai mati ditikam suspek dengan menggunakan sebilah gunting," katanya.

Susulan kejadian itu, polis yang memburu suspek hasil maklumat daripada temu bual dengan beberapa saksi kejadian dan juga rakan mangsa, telah membawa kepada penemuan mayat suspek di sebuah flet di Kelana Jaya, di sini, 4 petang Rabu.

Menurut polis, suspek, 44, juga berasal dari Sabah itu dipercayai membunuh diri dengan terjun dari tingkat 11 flet berkenaan.

"Sebaik polis tiba di lokasi kejadian (rumah suspek), mayatnya ditemui di bumbung stor flet itu.

"Suspek merupakan seorang ketua pengawal keselamatan,dipercayai hilang pertimbangan sehingga menikam wanita itu (mangsa) akibat cintanya ditolak," katanya.

Katanya, kematian lelaki itu diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Ahad, 27 April 2014

Obama Berkunjung Ke Masjid Negara

obama-lawat-masjid-negara

KUALA LUMPUR: Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama memberi penghormatan di Makam Pahlawan, tanah perkuburan beberapa ahli politik Malaysia termasuk bekas Perdana Menteri, Tun Abdul Razak Hussein dan pemimpin lain di kawasan Masjid Negara pada Ahad.

Pemimpin Amerika Syarikat itu tiba pada pukul 9.40 pagi dan disambut oleh Imam Besar Masjid Negara, Tan Sri Syaikh Ismail Muhammad.

Berpakaian sut gelap dan tali leher biru, Obama juga mengambil sedikit masa untuk melawat ruang solat utama Masjid Negara.

Turut hadir adalah Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin dan wakil khas Amerika Syarikat ke Pertubuhan Persidangan Islam, Rashad Hussain.

Beliau dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak di Putrajaya sebelum merasmikan Pusat Inovasi dan Kreatif Global Malaysia (MaGIC) di Cyberjaya.

Presiden Amerika Syarikat juga akan mengadakan sesi pertemuan dengan pemimpin-pemimpin muda dari Asia Tenggara.

Lawatan ke masjid yang dibina pada 1922 di atas tapak gereja itu begitu dialu-alukan, dengan ulama Islam di sini berkata, ia akan terus menekankan komitmen presiden untuk mendekati dunia Islam.

Reka bentuk moden Masjid Negara yang unik merangkumi kontemporari kaligrafi seni dan hiasan tradisional Islam.

Malaysia merupakan lawatan ketiga Obama ke empat negara di Asia, dan beliau akan mengakhiri lawatan itu ke Filipina pada Isnin.

Lawatan Obama ke Malaysia adalah yang pertama bagi Presiden Amerika Syarikat sejak Presiden Lyndon B. Johnson pada 1966.

Ahad, 20 April 2014

Derita Akibat Catuan Air Dijangka Berakhir April Ini

khalid-zalimi-rakyat-selangor
 
KUALA LUMPUR: Pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat dijangka ditamatkan pada 30 April depan.
 Penolong Pengurus Besar, Jabatan Komunikasi Korporat dan Hal Ehwal Awam Syabas, Priscilla Alfred Dharan berkata bagaimanapun ia bergantung kepada keputusan kerajaan negeri Selangor dan Suruhanjaya Perkhidmatan Air Negara.

"Pelaksanaan pelan catuan bekalan air peringkat pertama, ketiga dan keempat masih diteruskan seperti yang dirancang dan diputuskan kerajaan negeri Selangor (sehingga 30 April)," katanya dalam satu kenyataan di sini,m Ahad.

Mengulas mengenai kelewatan penyaluran bekalan air di beberapa kawasan catuan di Hulu Langat pada 19 April lepas, Priscilla berkata ia berikutan kejadian paip pecah yang berlaku di Taman Minang, Kajang.

Beliau berkata kejadian itu menyebabkan kawasan catuan di Taman Minang, Kajang Emas dan Kajang Mulia mengalami gangguan bekalan air untuk tempoh beberapa jam.

Sementara itu, catuan bekalan air di sekitar Gombak juga berhadapan dengan kekerapan penutupan Loji Rawatan Air (LRA) Wangsa Maju akibat kekeruhan pada air mentah melebihi tahap yang dibenarkan.

"Walaupun ada bekalan air alternatif disalurkan dari pengeluaran Loji Rawatan Air Sungai Selangor Fasa 3, namun jumlah keseluruhan agihan bekalan air berkurangan berikutan tiada sumbangan daripada LRA Wangsa Maju.

"Selain itu, pengeluaran air terawat dari LRA Sungai Selangor Fasa 3 sedang dikurangkan ekoran pengurangan pelepasan air mentah dari empangan Sungai Selangor seperti diputuskan kerajaan negeri Selangor," katanya.

Beliau berkata, bagi keperluan kritikal seperti upacara kematian, kegunaan pusat dialisis, rumah perkahwinan atau majlis perkahwinan, pengguna boleh memohon untuk mendapatkan bekalan melalui lori tangki atau tangki air statik daripada Syabas.

Pengguna dinasihatkan untuk tidak menggunakan bekalan air bagi keperluan tidak kritikal seperti mencuci kenderaan.

Untuk maklumat lanjut berkaitan kawasan catuan bekalan air boleh melayari laman sesawang Syabas di www.syabas.com.my.

Pesta Hari Jadi Liar Diserbu Polis

pesta-harijadi-serbu
Gambar hiasan
GEORGE TOWN: Seramai 88 individu termasuk 38 wanita ditahan ketika meraikan pesta hari jadi dalam keadaan mabuk dan khayal di sebuah banglo yang dijadikan inap desa di Jalan Masjid Negeri, di sini awal pagi Ahad.

Pemangku Ketua Polis Daerah Timur Laut, Supt Ismail Idris berkata, kesemua mereka yang berusia antara 16 dan 35 tahun itu ditahan dalam serbuan unit narkotik pada pukul 2.45 pagi hasil maklumat orang awam.

"Hasil siasatan seorang lelaki berusia 27 tahun mendakwa menganjurkan majlis hari jadi di banglo itu, bagaimanapun ia dijalankan dalam suasana yang mencurigakan kerana lagu dipasang dengan kuat dan polis turut menemui pelbagai botol arak.

"Mereka juga dalam keadaan khayal dipercayai akibat pengaruh dadah dan arak," katanya pada sidang akhbar, di sini Ahad.

Ismail berkata, kesemua mereka yang ditahan itu dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah Timur Laut dan hasil ujian saringan air kencing mendapati 35 lelaki dan 25 wanita positif dadah.

Beliau berkata, siasatan awal mendapati 16 daripada yang ditahan itu ialah pelajar sekolah dan turut positif dadah.

Ismail berkata, polis akan memanggil pemilik inap desa berkenaan bagi membantu siasatan kes itu.

"Menurut siasatan juga ada pengunjung yang menghadiri majlis itu dikenakan bayaran dan difahamkan ia adalah bagi menampung kos sewa inap desa serta makanan
untuk majlis berkenaan," katanya.

Wanita Maut Disimbah Asid Kerana Cemburu


Penampang: Seorang wanita maut akibat melecur di beberapa anggota badan selepas disimbah cecair dipercayai cuka getah oleh seorang lelaki ketika memesan makanan di sebuah restoran di pekan Towering, dekat sini, awal pagi semalam.

Dalam kejadian jam 5 pagi itu, Memey Kandusan, 19, bersama dua rakannya berdiri di hadapan tempat memasak sebelum didatangi seorang lelaki bertopi yang tiba-tiba menyimbah sejenis cecair ke arahnya.

Suspek dikatakan menaiki sebuah kereta jenis PERODUA Viva yang berhenti berhampiran restoran sebelum meluru ke arah mangsa dan bergegas meninggalkan lokasi sejurus menyimbah cecair itu.

Mangsa kemudian rebah dan menggelupur sebelum dikejarkan ke Hospital Queen Elizabeth 1 (HQE1) untuk mendapatkan rawatan tetapi disahkan meninggal dunia jam 11.20 pagi akibat melecur teruk di dada, bahu, mulut dan kedua-dua mata.

Singgah di restoran

Ketua Polis Daerah Penampang, Deputi Superintendan Ratan Kumar Singh, berkata siasatan mendapati mangsa bersama dua rakan perempuan singgah di restoran berkenaan untuk memesan makanan sebaik pulang kerja.

Katanya, ketika menunggu pesanan mereka siap, tiba-tiba seorang lelaki yang memakai topi datang dan menyimbah sejenis cecair dipercayai asid cuka getah ke arah mangsa.

“Mangsa yang parah kemudian dikejarkan ke HQE1 oleh rakannya, tetapi disahkan meninggal dunia tujuh jam kemudian. Setakat ini, tiada tangkapan dilakukan dan siasatan masih dijalankan bagi mengenal pasti motif kejadian,” katanya di sini.

Beliau berkata, mayat mangsa kemudian dihantar ke bilik mayat HQE1 untuk bedah siasat dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana membunuh.

Sepasukan Unit Forensik dari Ibu Pejabat Kontinjen (IPK) Sabah turut dihantar ke lokasi kejadian bagi membantu siasatan.

Sumber: Berita Harian

Sabtu, 19 April 2014

Gadis 14 Tahun Diriogol Dan Diliwat Teman Lelaki Selepas Keluar Rumah Tanpa Izin Keluarga

gadis-rogol-teman-lelaki

SUNGAI BULOH - Seorang remaja berusia 14 tahun terpaksa menempuh detik hitam dirogol teman lelakinya sendiri dalam kejadian di Kampung Paya Jaras dekat sini, minggu lalu.

Menurut sumber, mangsa yang sudah tidak bersekolah itu dikatakan keluar dari rumah di Tanjong Karang Selangor tanpa pengetahuan keluarganya.

“Mangsa dibawa ke rumah sewa teman lelakinya di Kampung Paya Jaras sebelum dirogol dan diliwat.

“Siasatan mendapati mangsa turut dirogol oleh dua lagi lelaki yang merupakan kawan serumah teman lelakinya," katanya.

Menurutnya, teman lelaki mangsa kini direman selama seminggu bagi membantu siasatan, manakala dua lagi rakannya diburu.

Kes disiasat di bawah Seksyen 376 dan 377 kanun keseksaan kerana merogol dan meliwat.

Ahad, 30 Mac 2014

Lagi Kes Kaki Budak Tersepit Dalam Lubang Tandas

budak-tersepit-lubang-tandas

MELAKA: Seorang kanak-kanak lelaki berusia tujuh tahun terpaksa menahan kesakitan hampir dua jam setelah kaki kanannya tersepit di dalam lubang tandas di rumahnya di Taman Tasik Utama di sini Ahad.

Dalam kejadian kira-kira 9.45 pagi tadi, Muhammad Daniel Amir sedang mandi apabila dengan tiba-tiba kaki kanannya termasuk ke dalam lubang tandas itu.

Bapanya Amir Ali, 47, berkata ketika kejadian, mereka sekeluarga sedang bersiap untuk keluar membeli barangan dapur di bandar Melaka.

"Saya terdengar jeritan Daniel lalu terus meluru ke bilik air untuk lihat keadaan dia dan saya nampak kakinya sudah termasuk ke dalam lubang tandas sehingga paras lutut," katanya ketika dihubungi Bernama di sini Ahad.

Katanya beliau cuba mengeluarkan kaki anak sulung daripada tiga beradik itu selama setengah jam, namun gagal sebelum menghubungi bomba.

Pegawai Bomba Kanan II Balai Bomba Ayer Keroh Mohd Shahril Zauni berkata pihaknya memecahkan mangkuk tandas itu bagi mengeluarkan kaki kanak-kanak itu pada 11.40 pagi.

Amir berkata Muhammad Daniel tidak mengalami sebarang kecederaan selepas kakinya dikeluarkan anggota bomba.

Bagaimanapun, katanya, beliau akan membawa anaknya itu ke hospital untuk pemeriksaan lanjut.

Bernama

Selasa, 25 Mac 2014

Kaedah 'kesan Doppler' Tentukan Kedudukan MH370

mh370-pray
KUALA LUMPUR - Kedudukan terakhir pesawat MH370 yang hilang, dikenal pasti melalui penggunaan 'kesan Doppler' oleh Air Accident Investigation Branch (AAIB) United Kingdom dan Satelit Inmarsat.

Pemangku Menteri Pengngkutan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata Inmarsat mencipta kaedah inovatif kedua ini, yang mengambil kira halaju pesawat berkenaan dan kaitannya dengan satelit berkenaan.

Menurut beliau, berdasarkan pergerakan relatif ini, frekuensi yang diterima dan dipancarkan akan berbeza daripada nilai normalnya, sama seperti bunyi sebuah kereta berubah apabila ia semakin dekat dan berlalu.

Ini dikenali sebagai kesan Doppler," katanya pada sidang akhbar mengenai"kemajuan usaha mencari pesawat tersebut di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini hari ini.

Beliau berkata kaedah Inmarsat itu membuat analisis tentang perbezaan antara frekuensi yang dijangka diterima stesen bumi dengan frekuensi sebenar yang diukur dan perbezaan yang wujud adalah hasil daripada kesan Doppler, yang dikenali sebagai 'Burst Frequency Offset'.

Hishammuddin berkata 'Burst Frequency Offset' berubah mengikut lokasi pesawat terbabit dalam arca yang berkemungkinan menjadi tempatnya berada, arah pergerakan dan kelajuannya.

"Untuk mendapatkan keyakinan terhadap teorinya, Inmarsat menyemak ramalannya itu dengan maklumat yang diperoleh daripada enam pesawat B777 lain yang terbang pada hari sama di pelbagai arah. Terdapat persamaan yang meyakinkan.

"Ketika berada di bumi di lapangan terbang Kuala Lumpur dan pada peringkat awal penerbangannya, MH370 menghantar beberapa mesej.

"Pada peringkat itu, lokasi pesawat berkenaan dan satelit, telah dikenal pasti, maka oleh itu, perkiraan bolehlah dibuat tentang ciri-ciri sistem pesawat terbabit, satelit dan stesen bumi," katanya.

Beliau berkata analisis ini menjadi asas bagi kajian selanjutnya dalam usaha menentukan kedudukan terakhir pesawat MH370."Sejajar dengan itu, pasukan penyiasat Malaysia menubuhkan sebuah kumpulan kerja antarabangsa, yang dianggotai agensi yang memiliki kepakaran dalam bidang komunikasi satelit dan prestasi pesawat, untuk meneruskan tugas berkenaan," katanya.

Beliau berkata walaupun banyak lagi kerja perlu dibuat, kerajaan berterima kasih kepada Inmarsat, AAIB dan pasukan penyiasat antarabangsa, yang sedang meneruskan tugas mereka dengan pihak berkuasa Malaysia.

Malam tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengumumkan bahawa penerbangan pesawat berkenaan berakhir di selatan Lautan Hindi berdasarkan analisis baharu AAIB dan Inmarsat.

Penerbangan ke Beijing itu hilang pada 8 Mac. Pengumuman Najib itu mengakhiri operasi mencari dan menyelamat yang diadakan selama 17 hari dan disifatkan sebagai operasi terbesar dalam sejarah penerbangan, dengan melibatkan 26 negara.

Bagaimanapun, spekulasi tentang misteri kehilangan pesawat MH370 terus tersebar kerana hingga kini, belum terdapat jawapan konkrit mengenainya. Ia mungkin berakhir setelah kotak hitam dijumpai. - Bernama